Normal view

There are new articles available, click to refresh the page.
Before yesterdayMain stream

Kanak-kanak perempuan lemas di Pulau Banding

kanak-kanak

kanak-kanak

GERIK: Seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun ditemukan mati lemas di Jeti Mat Shah di Pulau Banding, dekat sini semalam.

Mayat mangsa ditemukan sekitar pukul 6.50 petang di dasar tasik berhampiran rumah bot Mat Shah pada kedalaman 1.8 meter.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood berkata, maklumat kes lemas itu diterima Balai Polis Bersia pada pukul 8.20 malam.

Katanya, bertindak atas maklumat itu, sepasukan anggota telah pergi ke lokasi bagi melakukan pemeriksaan ke atas mangsa dan sekitar tempat kejadian.

“Siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah pada tubuh mangsa dan tempat kejadian.

“Berdasarkan temubual dengan bapa mangsa berusia 40 tahun, kanak-kanak itu dilihat bermain air bersama rakannya pada pukul 6 petang di tepi tasik berdekatan tempat letak bot di jeti berkenaan.

“Bagaimanapun, lelaki yang bekerja di Pulau Banding itu menyedari anaknya telah hilang setengah jam kemudian dan berusaha mencari mangsa bersama rakan-rakannya,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, mangsa yang dijumpai di dasar tasik disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas perubatan Hospital Gerik.

Katanya, hasil bedah siasat yang dijalankan di Unit Forensik Hospital Gerik mendapati punca kematian mangsa akibat lemas.

“Pemeriksaan lanjut pada tubuh mangsa tidak menjumpai apa-apa kecederaan atau sebarang unsur jenayah. Kes diklasfikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. – UTUSAN

The post Kanak-kanak perempuan lemas di Pulau Banding appeared first on Utusan Malaysia.

Kanak-kanak hilang ketika mandi-manda di sungai ditemukan lemas

KUALA TERENGGANU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang dilaporkan hilang ketika bermandi-manda di Sungai Tok Hakim, di sini, petang semalam, ditemukan lemas pada pukul 11 pagi tadi.

Mayat Muhammad Harraz Ilman Mohd. Syahril Redhuan ditemukan anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) di dasar sungai pada jarak 30 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar, berkata, mayat kanak-kanak itu dijumpai selepas hampir 17 jam operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan.

“Operasi SAR hari kedua dimulakan awal pagi tadi dengan sesi selaman oleh unit PPDA sambil meneruskan pencarian di permukaan air sejak operasi dilancarkan petang semalam.

“Mangsa kemudian berjaya dikesan pasukan penyelamat dalam keadaan tertiarap di dasar sungai pada kedalaman 1.5 meter kira-kira 30 meter dari lokasi terakhir mangsa dilaporkan lemas.

“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis dan dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk tindakan lanjut,” katanya di sini, hari ini.

Rozizah menjelaskan, seramai 70 anggota terdiri daripada pihak bomba, unit anjing pengesan (K9), polis dan penduduk kampung digerakkan bagi membantu operasi SAR hari ini.

Difahamkan Muhammad Harraz Ilman datang ke lokasi berkenaan untuk bermandi-manda bersama adiknya, Muhammad Firas Wafiy, 9, dan seorang lagi rakan mereka.

Kegembiraan tiga sekawan itu bertukar tragedi setelah Muhammad Harraz Ilman dikhuatiri lemas selepas tergelincir lalu dihanyutkan arus deras manakala dua yang lain itu terselamat. – UTUSAN

The post Kanak-kanak hilang ketika mandi-manda di sungai ditemukan lemas appeared first on Utusan Malaysia.

Kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun ditemukan lemas

KUALA TERENGGANU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun ditemukan lemas ketika mandi di Sungai Ibai dekat Kampung Laut di sini, kira-kira pukul 5.20 petang tadi.

Mayat Tuan Muhammad Iyad Tuan Noor Marzuki dijumpai pasukan mencari dan menyelamat   kira-kira 10 meter dari lokasi mangsa dilaporkan lemas pada pukul  6.48 petang.

Menurut Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Yusmizan Yusof, pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 5.29 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, sepasukan sembilan anggota termasuk pasukan penyelamat di air (PPDA) selain dua jentera dikerah sebelum usaha mencari dan menyelamat dilakukan bersama penduduk kampung.

“Selepas lebih sejam, mayat kanak-kanak lelaki itu berjaya ditemukan anggota PPDA di dasar sungai sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, hari ini.

Sementara itu, seorang penduduk kampung, Mohd. Hafiz Sidek, 37, berkata, dia bersama dua lagi rakan yang sedang memancing segera terjun ke dalam sungai sebaik melihat mangsa tiba-tiba lemas.

Menurutnya, ketika kejadian mangsa sedang mandi seorang diri manakala tiga kawan mangsa pula sedang memancing hanya beberapa meter dari situ.

“Sebelum ketibaan pihak bomba, saya bersama dua orang lagi terjun ke dalam sungai malah ada penduduk mengambil langkah melempar jala bagi menyelamatkan kanak-kanak itu.

“Namun usaha kami gagal kerana keadaan air ketika itu berselut menyukarkan pandangan malah terdapat pusaran air yang deras di dasar menyebabkan usaha mencari memakan masa lebih sejam.

“Kawasan ini memang jadi tumpuan kaki pancing namun saya tidak sangka akan berlaku kejadian sebegini apatah lagi saya mengenali keluarga mangsa terutama arwah ayahnya,” katanya. – UTUSAN

The post Kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun ditemukan lemas appeared first on Utusan Malaysia.

Mayat pemandu bot jatuh Tasik Kenyir ditemukan

HULU TERENGGANU: Mayat pemandu bot pelancong yang terjatuh di Tasik Kenyir dekat sini akibat kemalangan dua bot laju pada Jumaat lalu berjaya ditemukan di tasik itu, pada hari ini.

Ketua Balai dan Penyelamat Kuala Berang, Hanaffi Mohamad berkata, mayat Mohd. Faisal Draman, 42, ditemukan terapung berhampiran lokasi dia terjatuh pada pukul 3.40 petang.

Menurutnya, sebelum itu, anggota pasukan mencari dan menyelamat telah melakukan pencarian di permukaan air di lokasi kejadian.

“Bot pasukan penyelamat telah melakukan teknik pusingan donat sebelum mayat Mohd. Faisal yang berada di dasar tasik timbul ke permukaan pada kira-kira 10 minit kemudian,” katanya dalam kenyataan di sini, petang tadi.

Hanaffi memberitahu, mayat Mohd. Faisal telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu di sini untuk bedah siasat.

Utusan Online Jumaat lalu melaporkan mangsa dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam sungai akibat kemalangan melibatkan dua bot laju di Sungai Pertang berhampiran Santuari Kelah, Tasik Kenyir dekat sini.

Kejadian pada pukul 11.05 pagi itu berlaku selepas dua bot laju termasuk satu daripadanya dikendali Mohd. Faisal bertembung di lokasi kejadian. – UTUSAN

The post Mayat pemandu bot jatuh Tasik Kenyir ditemukan appeared first on Utusan Malaysia.

❌
❌