Normal view

There are new articles available, click to refresh the page.
Before yesterdayUtusan Malaysia

Kasino: Beberapa lagi individu akan dipanggil – Ketua Polis Negara

KUALA LUMPUR: Beberapa lagi individu akan dipanggil untuk memberi keterangan berhubung penerbitan artikel mengenai rancangan pembangunan kasino di Forest City, Johor. Setakat hari ini, seorang ketua pengarang sebuah portal berbahasa Inggeris tempatan sudah dipanggil bagi dirakam percakapannya berhubung penerbitan artikel tersebut. Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, proses merakam percakapan ketua pengarang portal… ... Read more

The post Kasino: Beberapa lagi individu akan dipanggil – Ketua Polis Negara appeared first on Utusan Malaysia.

Pegawai Imigresen dilarang tolak permohonan kerana tidak fasih bahasa Melayu

PETALING JAYA: Pegawai Jabatan Imigresen Malaysia tidak dibenarkan menolak sebarang permohonan hanya kerana pelanggan gagal menguasai bahasa kebangsaan, kata Ketua Pengarahnya, Datuk Ruslin Jusoh. Bagaimanapun, beliau berkata, dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai penjawat awam, pegawai Imigresen akan melaksanakan semakan rawak dari pelbagai aspek bagi mengesahkan permohonan seseorang pelanggan. “Walaubagaimanapun, semakan ini perlu dilakukan secara profesional dan… ... Read more

The post Pegawai Imigresen dilarang tolak permohonan kerana tidak fasih bahasa Melayu appeared first on Utusan Malaysia.

Kerajaan mahu henti ketagihan hutang – PM

PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, kerajaan pimpinannya akan menokhtahkan gejala ketagihan kepada hutang bagi memulihkan semula keyakinan pelabur luar. Menurut Perdana Menteri, Jawatankuasa Dasar Fiskal (FPC) negara yang bermesyuarat semalam senada mahu memperkukuhkan Pejabat Pe­ngurusan Hutang (DMO) bagi menambah baik pengurusan hutang kerajaan “Ahli jawatankuasa FPC juga akan memperkemaskan peranan Pejabat Perhubungan Pelabur… ... Read more

The post Kerajaan mahu henti ketagihan hutang – PM appeared first on Utusan Malaysia.

Jangan main api perkauman

PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menitahkan semua pihak berhenti mengambil kesempatan dalam isu membabitkan stoking tertera kalimah Allah selepas kes tersebut kini sedang melalui proses perundangan. Baginda mengingatkan agar tidak ada pihak yang meng­api-apikan kemarahan secara berterusan dalam isu melibatkan pasar raya KK Mart itu. “Saya telah menitahkan untuk tindakan diambil mengikut lunas… ... Read more

The post Jangan main api perkauman appeared first on Utusan Malaysia.

Bersatu mahu ambil tindakan ke atas wakil rakyat khianat parti

PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana wakil rakyatnya yang mengkhianati parti dengan bermaksud untuk mengosongkan kerusi diwakili bagi membolehkan Pilihan Raya Kecil (PRK) dilaksanakan.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, Bersatu bersedia berdepan dengan sebarang kemungkinan termasuk PRK.

“Selaras dengan ketegasan itu, Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) bersetuju meminda Perkara 10 Perlembagaan Bersatu bagi menghalang insiden sama daripada berulang di masa hadapan.

“Dalam menyusun langkah konkrit ke hadapan, MPT juga sebulat suara meneruskan perjuangan di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden, bukan sahaja dalam konteks pemerkasaan parti secara menyeluruh, tetapi untuk tampil lebih kredibel, tegas dan berani dalam melawan fitnah jahat serta kezaliman kerajaan pimpinan (Datuk Seri) Anwar Ibrahim,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat khas MPT Bersatu yang dipengerusikan oleh Presidennya,Muhyiddin semalam.

Ia susulan tindakan enam Ahli Parlimen Bersatu mengisytiharkan sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

AHLI PARLIMEN

Mereka ialah  Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz; Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik; Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd. Azizi Abu Naim; Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid; Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Tanjung Karang, Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi.

Pada masa sama, Hamzah turut mengumumkan perubahan dalam kepimpinan Bersatu peringkat negeri apabila menamakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Ketua Badan Pimpinan Bersatu Selangor.

Selain itu, beliau berkata, ADUN Labu, Mohamad Hanifah Abu Bakar turut dilantik sebagai Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri Sembilan bagi menggantikan Timbalan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

“Pada masa sama, beberapa langkah bagi membugarkan Bersatu juga telah diambil antaranya dengan melantik tiga ahli MPT baharu iaitu Ahli Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin; ADUN Taman Medan, Dr. Afif Bahardin dan Penolong Setiausaha Srikandi Malaysia, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi,” katanya.

Sementara itu, Hamzah berkata, dalam mesyuarat sama, Bersatu turut membincangkan mengenai situasi terkini ekonomi negara yang suram dan beban sara hidup rakyat akibat masalah harga barang melambung tinggi, nilai ringgit berterusan merudum serta ditambah dengan kenaikan bil utiliti.- UTUSAN

The post Bersatu mahu ambil tindakan ke atas wakil rakyat khianat parti appeared first on Utusan Malaysia.

JPNS komited bantu Shivaani teruskan persekolahan

PETALING JAYA: Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) komited untuk membantu pengurusan pendaftaran seorang murid 10 tahun di Senawang, Negeri Sembilan yang menghadapi masalah persekolahan susulan ketiadaan dokumen kewarganegaraan.

Kementerian Pendidikan Malaysia dalam satu kenyataan berkata, satu pertemuan bersama keluarga murid tersebut telah diadakan JPNS pada 28 Disember lalu bagi mencari jalan penyelesaian bagi membolehkan kanak-kanak tersebut meneruskan persekolahan seperti biasa.

Menurutnya, dalam pertemuan itu, JPNS menyatakan kesediaannya untuk membantu pengurusan pendaftaran murid terbabit.

“KPM mengambil perhatian isu murid tanpa dokumen kewarganegaraan yang menghadapi masalah untuk meneruskan persekolahan seperti yang dilaporkan media.

“Dalam pertemuan itu, beberapa cadangan penyelesaian telah dikemukakan berkaitan dengan keperluan dokumentasi kewarganegaraan murid terbabit. Pertemuan telah berlangsung dalam suasana harmoni dan mencapai hasil yang positif,” katanya.

Dalam kenyataan sama, KPM berkata, pihaknya sentiasa berusaha meningkatkan akses pendidikan berkualiti untuk semua murid warganegara.

“Agenda pendidikan manusiawi memastikan tiada murid yang tercicir,” katanya.

Terdahulu, sebuah portal dwibahasa melaporkan seorang kanak-kanak berusia 10 tahun di Senawang, Negeri Sembilan mengutuskan surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon supaya dibenarkan penyambung persekolahan pada tahun ini.

Kanak-kanak yang dikenali sebagai Shivaani itu sebelum ini bersekolah sehingga darjah tiga di Sekolah Kebangsaan Taman Sri Pagi, Senawang namun dimaklumkan oleh pihak sekolah bahawa tidak dapat meneruskan persekolahannya kerana isu dokumentasi kewarganegaraan. – UTUSAN

The post JPNS komited bantu Shivaani teruskan persekolahan appeared first on Utusan Malaysia.

Banjir: 28,533 mangsa dipindahkan, Johor dan Sabah turut terjejas

PETALING JAYA: Jumlah mangsa banjir terus mencatatkan peningkatan apabila seramai 28,533 mangsa dipindahkan setakat pagi ini, dengan dua lagi negeri iaitu Johor dan Sabah turut dilanda bencana tersebut.

Berdasarkan kemaskini Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melalui portal info bencana JKM, sebanyak 214 pusat pemindahan sementara (PPS) diaktifkan di enam negeri yang terjejas bagi menempatkan 8,713 keluarga.

Negeri yang mencatatkan pemindahan mangsa paling tinggi setakat ini adalah Kelantan dengan 17,733 orang dipindahkan ke 86 PPS membabitkan 5,674 keluarga.

Menurut kemas kini tersebut, daerah Pasir Mas adalah kawasan paling teruk terjejas apabila mencatatkan 12,393 mangsa dipindahkan ke 35 PPS yang diaktifkan.

Di Terengganu pula, seramai 10,419 mangsa yang terdiri daripada 2,933 keluarga dipindahkan ke 119 PPS di tujuh daerah seluruh negeri.

Setakat ni, daerah paling teruk terjejas adalah di Hulu Terengganu apabila mencatatkan pemindahan 3,206 mangsa namun angka tersebut dilaporkan tidak berubah berbanding semalam.

Empat lagi negeri yang terjejas adalah Sabah dengan 169 mangsa, Pahang (125), Johor (83) dan Selangor (4).

Terdapat sembilan PPS diaktifkan untuk menempatkan mangsa banjir di keempat-empat negeri tersebut dengan Pahang mencatatkan empat pusat, Sabah (3), Selangor (1), Johor (1).

Sementara itu, berdasarkan laporan terkini kejadian bencana yang dikeluarkan Pusat Kawalan Bencana, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) terdapat satu kejadian tanah runtuh dilaporkan berlaku di Cameron Higlands disebabkan hujan lebat yang melanda kawasan tersebut.

Keadaan tersebut memaksa 87 mangsa dipindahkan ke satu PPS yang diaktifkan semalam. – UTUSAN

The post Banjir: 28,533 mangsa dipindahkan, Johor dan Sabah turut terjejas appeared first on Utusan Malaysia.

Jangan provokasi ‘status quo’- Pemuda UMNO

PETALING JAYA: Pemuda UMNO memberi amaran kepada DAP tidak memprovokasi ‘status quo’ Melayu yang dibina atas persefahaman antara kaum di negara ini dengan kenyataan-kenyataan tidak perlu seperti Pilihan Raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Perdana Menteri bukan Melayu.

Ketuanya, Dr. Akmal Saleh berkata, kenyataan sedemikian hanya akan mencetuskan ketidakharmonian dalam kalangan rakyat Malaysia.

Malah, Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka itu berkata, beliau percaya dalam  kalangan kepimpinan dalam Kerajaan Perpaduan juga tidak berasa selesa dengan kenyataan sedemikian.

“Ia umpama provokasi sengaja terhadap “status quo” persefahaman antara kaum yang dikecapi selama ini. Provokasi pendapat ini membuka ruang supaya ada perbincangan dan perbezaan pandangan yang akan melebarkan rasa tidak senang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas berhubung kenyataan Tan Sri Lim Kit Siang berkaitan impian bukan Melayu menjadi Perdana Menteri dan Pengerusi DAP Kuala Lumpur, Tan Kok Wai berhubung usul pilihan raya PBT Kuala Lumpur sebagai perintis.

PBT

Dr. Akmal berkata, cadangan untuk melaksanakan pilihan raya PBT di Kuala Lumpur akan mewujudkan ketidakseimbangan di kawasan tersebut.

“Misalnya jika hendak dilakukan pilihan raya PBT di Kuala Lumpur, demografi penduduk berdasarkan bancian di Wilayah Kuala Lumpur adalah seramai 1,588,750 orang, daripada jumlah itu hanya 45.9 peratus merupakan penduduk bumiputera. 

“Jika diadakan pilihanraya, semestinya ketidakseimbangan akan wujud dan boleh dijangka apa kesudahannya,” katanya.

Beliau berkata, selama enam dekad Malaysia ditadbir berdasarkan konsensus dan kemuafakatan yang disokong dan disenangi oleh majoriti. 

“Kenyataan-kenyataan sebegini seolah ada mesej atau isyarat yang tersirat yang hendak disampaikan. Pimpinan DAP harus lebih sensitif dan menghormati kehormanian sedia ada, bukan membangkitkan rasa tidak senang dan pesimis dalam kalangan masyarakat dan sesama kaum.

“Pemuda UMNO tidak sesekali berkompromi dengan apa jua cadangan dan tindakan seumpama ini. Berada di dalam Kerajaan yang sama tidak bermaksud boleh bersetuju dalam semua perkara kerana kerajaan ini bukanlah kerajaan DAP tetapi ia dibina dengan kehadiran UMNO.

“Segala keputusan yang melibatkan kepentingan agama Islam, bangsa Melayu dan Raja-Raja Melayu, kami tidak akan sedikit pun berganjak apa lagi mengalah,” katanya.- UTUSAN

The post Jangan provokasi ‘status quo’- Pemuda UMNO appeared first on Utusan Malaysia.

AS seolah-olah halalkan kekejaman terhadap Palestin -Agong

PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyifatkan tindakan Amerika Syarikat (AS) menggunakan kuasa vetonya menolak Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) untuk gencatan senjata seolah-olah menghalalkan kekejaman terhadap rakyat Palestin.

Baginda menzahirkan rasa dukacita dan kesal terhadap tindakan tersebut bertitah, ia sekali gus menggagalkan usaha UNSC untuk mencari jalan penyelesaian dalam konflik rejim Zionis Israel – Palestin yang sehingga kini mengorbankan lebih 17,000 orang awam dengan 70 peratus daripadanya adalah kanak-kanak dan wanita.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Mejar Jeneral Datuk Zahari Mohd. Ariffin berkata, tindakan itu juga seolah-olah menghalalkan kekejaman rejim Zionis terhadap rakyat Palestin dengan pembunuhan lebih ramai orang awam dan kemusnahan harta benda, fasiliti serta kemudahan perubatan di Gaza.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan sokongan kepada pendirian kerajaan Malaysia, menerusi kenyataan Perdana Menteri dan Menteri Luar Negeri yang membantah dan mengecam tindakan veto AS terhadap resolusi yang dikemukakan oleh Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan disokong 102 negara-negara anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

“Seri Paduka Baginda menyeru seluruh rakyat supaya terus bersolidariti bersama rakyat Palestin dan menghulurkan sebarang bentuk bantuan kemanusiaan bagi meringankan beban dan penderitaan mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zahari berkata, Yang di-Pertuan Agong turut menyeru seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama untuk bersama Baginda berdoa mengikut pegangan kepercayaan masing-masing agar konflik rejim Zionis Israel-Palestin itu dapat dihentikan dengan segera.

Katanya, pada masa sama, rakyat Palestin dilindungi dan tanah air mereka dibebaskan daripada penjajahan dan penindasan rejim Zionis Israel.

“Seri Paduka Baginda juga turut menyeru masjid dan surau di negara ini serta rakyat yang beragama Islam di kediaman sendiri untuk terus mengadakan solat sunat hajat dan doa selamat bagi memohon ihsan daripada Allah SWT untuk memelihara kesejahteraan rakyat Palestin,” katanya.

Pada Jumaat lalu, Amerika Syarikat menggunakan kuasa vetonya dalam menolak resolusi untuk gencatan senjata di Semenanjung Gaza ketika angka korban rakyat Palestin menjangkau lebih 17,000 orang. 

Resolusi yang disokong oleh hampir 102 negara anggota Majlis Keselamatan PBB itu ditolak bulat-bulat oleh AS dengan sokongan 13 negara lain manakala sekutu rapatnya United Kingdom (UK) memilih untuk berkecuali.--UTUSAN

 

The post AS seolah-olah halalkan kekejaman terhadap Palestin -Agong appeared first on Utusan Malaysia.

Peratusan keluar undi PRK Kemaman mampu capai 75 peratus

PETALING JAYA: Peratusan keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman, hari ini dijangka mampu mencapai sehingga 75 peratus jika cuaca cerah sepanjang hari. Bagaimanapun, pemerhati politik menjangkakan peratusan keluar mengundi susut sedikit berbanding kadar yang direkodkan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu. FAKTOR Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia…

 

 

Sila Log Masuk atau Langgan untuk membaca berita sepenuhnya

The post Peratusan keluar undi PRK Kemaman mampu capai 75 peratus appeared first on Utusan Malaysia.

Kami tak perlu tunggu ‘miss call’ Nurul Ain lagi

PETALING JAYA: “Kami seke­luarga sudah tak perlu bimbang jika Nurul Ain gagal dihubungi lagi”. Itu kelegaan bapa kepada Nurul Ain Haron, 37, iaitu rak­yat Malaysia yang sebelum ini terkandas bersama suami­nya, Mohamed Adam Shaat, 33, di Semenanjung Gaza disebabkan peperangan antara Israel – Hamas sejak 7 Oktober lalu. Bapanya, Haron Hamim, 65, berkata, mereka sekeluarga amat menantikan berita baik daripada…

 

 

Sila Log Masuk atau Langgan untuk membaca berita sepenuhnya

The post Kami tak perlu tunggu ‘miss call’ Nurul Ain lagi appeared first on Utusan Malaysia.

Gaza ‘perkuburan terbuka terbesar’

PETALING JAYA: Jolokan Semenanjung Gaza yang sebelum ini dikenali sebagai ‘penjara terbuka terbesar dunia’ mungkin akan berubah statusnya kepada ‘tanah perkuburan terbuka terbesar’ sekiranya gencatan senjata tidak berlaku dalam masa terdekat. Keadaan tersebut tidak mustahil menimpa Semenanjung Gaza disebabkan tindakan agresif rejim zionis terus menerus membedil orang awam tanpa mengira usia sejak 7 Oktober lalu dengan alasan untuk menghapuskan Hamas.…

 

 

Sila Log Masuk atau Langgan untuk membaca berita sepenuhnya

The post Gaza ‘perkuburan terbuka terbesar’ appeared first on Utusan Malaysia.

‘Anwar Triumphs’ abadikan perjalanan karier politik Perdana Menteri

KUALA LUMPUR: Perjalanan karier politik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diabadikan dalam naskhah buku bertajuk ‘Anwar Triumphs’ hasil tulisan tokoh peguam jenayah Australia, Mark Trowell KC.
Buku tersebut dilancarkan sendiri oleh Perdana Menteri dalam satu majlis di Kuala Lumpur Convention Center, di sini, hari ini.
Antara lain, naskhah tersebut menyediakan kepada pembaca liku-liku perjalanan Anwar dalam kancah politik tanah air yang membongkar kejatuhan Pakatan Harapan (PH) dan krisis politik susulan langkah strategik diambil untuk mendapatkan kuasa.
Buku tersebut menggambarkan perjalanan luar biasa Ahli Parlimen Tambun itu untuk mengecapi kejayaan dalam persaingan yang panjang, pengkhianatan politik dan tindakan berani bagi mengukuhkan negara.
Trowell dalam tulisannya menawarkan terperinci pandangan berbeza dalam kemelut susulan pembebasan Anwar pada May 2018, beliau juga menyatakan bahawa buku ini penting kerana merekodkan sejarah sebenarnya yang berlaku ketika itu daripada menulis selepas setelah sekian lama.
Trowell adalah tokoh peguam jenayah terkemuka Australia yang menjadi pemerhati antarabangsa dalam menyediakan laporan kritikal berkaitan prosiding undang-undang membabitkan tokoh ternama seperti mendiang Karpal Singh; Menteri Sri Lanka, Rishad Bathiudeen dan beberapa lagi.
Selain kariernya sebagai peguam, Trowell juga mengarang naskhah ‘Sodomy II: The Trial of Anwar Ibrahim’ (2012), ‘The Prosecution of Anwar Ibrahim: The Final Play’ (2015) dan ‘Anwar Returns: The Final Twist’ (2018). – UTUSAN

The post ‘Anwar Triumphs’ abadikan perjalanan karier politik Perdana Menteri appeared first on Utusan Malaysia.

Kebebasan badan kehakiman terus dipertahankan -Anwar

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri sekali lagi menegaskan beliau tidak sesekali akan mencampuri urusan badan kehakiman sebaliknya memberi jaminan akan mempertahankan kebebasannya dengan apa cara sekali pun.

Pada masa sama, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau menekankan kepentingan badan kehakiman untuk bebas, tidak berat sebelah dan berwibawa pada setiap masa.

Beliau berkata, badan kehakiman adalah benteng keadilan untuk memastikan kedaulatan undang-undang negara dipatuhi dan dilindungi pada setiap masa.

Katanya lagi, dalam lipatan sejarah negara, ada ‘kambing hitam’ dalam badan kehakiman yang bekerjasama dan berganding bahu dengan pihak tertentu melakukan pelanggaran berat terhadap institusinya sendiri.

“Ia membawa keburukan dan mencemarkan nama baik di satu pihak dengan menyebarkan kezaliman sewenang-wenangnya kepada pihak lain.

”Kedaulatan undang-undang menjamin bahawa kuasa kerajaan mesti digunakan mengikut undang-undang. Mereka yang memegang kuasa mesti bertanggungjawab atas keputusan dan tindakannya. 

“Kerajaan mesti telus dan ia penting mengikut prinsip kerajaan terbuka. Oleh itu, keputusan dan urusan meragukan tidak boleh digunakan untuk mengaburi mata rakyat atas nama Akta Rahsia Rasmi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Agung Persatuan Undang-Undang Asean (ALA) Ke-14 dan Persidangan Undang-Undang Asean 2023, di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dan Ketua Hakim Negara merangkap Presiden ALA Malaysia, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Anwar berkata, dasar yang menggalakkan dan menegakkan kesaksamaan jantina merentasi pelbagai bidang termasuk pendidikan, pekerjaan dan kepemimpinan mesti diperjuangkan.

Susulan itu, katanya, sumbangan dan potensi wanita perlu diiktiraf, selain diberi peluang yang sama untuk memimpin dan berinovasi.

“Bagi kanak-kanak, selain menjadi mangsa buruh paksa dan pemerdagangan, masih ramai yang terbabit dalam kerja berbahaya memudaratkan kesihatan, keselamatan dan perkembangan moral mereka.

“Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita untuk mewujudkan ruang selamat di mana minda mereka boleh berkembang dan haknya dilindungi,” katanya.

Sementara itu, Tengku Maimun memberi jaminan bahawa badan kehakiman Malaysia, melalui prinsip kedaulatan undang-undang yang diamalkan oleh kerjasama ASEAN akan terus mempertahankan undang-undang tanpa rasa takut atau pilih kasih dan tanpa berat sebelah bagi mana-mana pihak tertentu.

“Perdana Menteri sangat percaya dengan prinsip ini dan memberi sokongan bagaimana eksekutif dan badan kehakiman boleh terus melaksanakan undang-undang secara bebas antara satu sama lain.

“Adalah penting untuk menyedari bahawa walaupun rantau ASEAN dicirikan oleh sistem perundangan yang berbeza dan menggalakkan tadbir urus yang baik, namun, ia membentuk intipati landskap perundangan kita yang pelbagai,” katanya.-UTUSAN

 

The post Kebebasan badan kehakiman terus dipertahankan -Anwar appeared first on Utusan Malaysia.

Masjid hasil dana rakyat Malaysia hancur dibedil Israel

PETALING JAYA: Sebuah masjid yang terletak di wilayah bergolak Gaza, Palestin hasil sumbangan rakyat Malaysia musnah keseluruhannya apabila menjadi sasaran bedilan tentera rejim Israel dalam serangan udara pada Sabtu lalu.

Badan bukan kerajaan (NGO), Muslim Care Malaysia Society dalam satu hantaran di Facebook miliknya berkongsikan beberapa keping gambar terkini keadaan Masjid Muhammad Al Amin yang kini rebah menyembah bumi.

Menurut hantaran itu, masjid tersebut dibangunkan hasil dana disumbangkan rakyat Malaysia pada penghujung tahun 2013 lalu.

“Penghujung tahun 2013, Muslim Care Malaysia mencipta sejarah apabila berjaya membina sebuah masjid luas dan cantik untuk rakyat Palestin.

“Malangnya semua hasil usaha dan sumbangan rakyat Malaysia, 7hb Oktober (kelmarin), Masjid Muhammad Al Amin ini musnah keseluruhannya dan tidak lagi boleh digunakan,” katanya.

Muslim Care antara NGO tempatan yang aktif mengumpul dana membantu kepada rakyat Palestin berkata, walaupun keadaan masjid itu kini sudah hancur namun semangat jihad orang Islam tidak akan pernah pudar.

“Sebagaimana kuatnya jiwa pejuang saudara kita di Palestin, begitu jugalah teguhnya hati-hati kita semua akan terus bersatu. Lebih banyak bantuan dan dana akan kita salurkan sebagai tanda sokongan kita kepada saudara kita di Palestin.

“Tembakan doa dan munajat antara yang juga sedang sangat diperlukan. Teruskan berdoa dan bermunajat. Semoga kemenangan besar untuk Islam. Insya-Allah,” katanya.

Awal pagi Sabtu lalu, Hamas menerusi Brigade Al-Qassam dan Al-Quds membuat serangan mengejut apabila melancarkan kira-kira 5,000 roket ke arah tanah haram Israel selain menyusup masuk ke beberapa daerah di negara itu yang menempatkan penempatan haram rakyat rejim tersebut.

Operasi yang dinamakan sebagai ‘Taufan Al-Aqsa’ itu dianggap kejayaan besar apabila mengejutkan tentera rejim Israel yang dikatakan memiliki teknologi ketenteraan antara terbaik di dunia.

Sebagai membalas serangan itu, Israel pula melancarkan Operasi Pedang Besi’ dengan serangan dari pelbagai arah yang kebanyakannya menyasarkan penempatan orang awam di Gaza.

Setakat ini, lebih 300 rakyat Palestin disahkan maut manakala ribuan lagi tercedera dalam serangan rejim Zionis tersebut. – UTUSAN

The post Masjid hasil dana rakyat Malaysia hancur dibedil Israel appeared first on Utusan Malaysia.

Resapan air bawah tanah punca mendapan di LPT1

PETALING JAYA: Resapan air bawah tanah di tapak projek tebatan banjir Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT 1) di Kilometer (KM)  118.2 ke KM 117.8 arah ke Kuala Lumpur disyaki punca utama runtuhan cerun di lokasi kejadian.

Pengendali Lebuhraya Kuala Lumpur – Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1), Anih Berhad dalam kenyataan berkata, pihaknya telah mengambil langkah-langkah segera untuk memantau secara visual dalam usaha menangani isu kegagalan tambakan projek tebatan banjir tersebut.

Katanya, pihaknya menempatkan kakitangan operasinya sepanjang 24 jam di lokasi kejadian untuk memantau perkembangan insidem tersebut.

“Setakat ini, tiada pergerakan baharu yang direkodkan di kawasan kejadian namun, pihak syarikat dengan kerjasama kontraktor telah menempatkan penanda enapan (settlement marker) bagi meneruskan pemantauan keadaan semasa.

“Anih Berhad serta pihak perunding sedang menjalankan kajian terperinci untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian. 

“Kerja-kerja pembaikan akan dilaksanakan segera oleh pihak kontraktor setelah penyiasatan tapak secara menyeluruh selesai dilakukan dan cadangan pembaikan yang bersesuaian dikemukan oleh pihak jurutera perunding,” katanya hari ini.

Semalam, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memaklumkan kejadian tanah mendap di lokasi tersebut yang dipercayai berlaku sekitar jam 3 petang.

Beliau telah mengarahkan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan pihak yang terbabit, untuk melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan kawasan mendap dengan segera.

LAPORAN PENUH

“Saya juga telah menghubungi Ketua Pengarah LLM (Sazali Harun) dan mahu satu laporan penuh dikemuka dengan segera, selain pemantauan di sekitar kawasan mendapan bagi mengenal pasti kemungkinan risiko mendapan lain,” katanya.

Mengulas lanjut, kenyataan itu memaklumkan bahawa Anih Berhad telah menutup sepenuhnya laluan ke Kuala Lumpur dan mengaktifkan sistem laluan kontra dari KM 116.5 sehingga KM 119.4 di laluan timur pada jam 4.15 petang semalam dengan kerjasama dua pasukan ERT dan pihak IPD Temerloh bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku di lokasi.

“Pengguna dinasihati untuk merancang perjalanan mereka dan memandu secara berhemah serta mematuhi arahan petugas dilokasi.

“Bagi mendapatkan informasi tepat dan terkini, para pengguna disarankan untuk mengikuti saluran rasmi media sosial Anih Berhad di Facebook (@Lebuhraya Pantai Timur) dan Twitter, (@LPTTrafik) serta Lembaga Lebuhraya Malaysia di Twitter (@llmtrafik) dan Facebook (@Lembaga Lebuhraya Malaysia). 

“Untuk sebarang kecemasan, sila hubungi LPT – Line di 1-700-818-700 atau LLM di 1800- 88- 7752,” katanya.- UTUSAN

The post Resapan air bawah tanah punca mendapan di LPT1 appeared first on Utusan Malaysia.

❌
❌