Normal view

There are new articles available, click to refresh the page.
Before yesterdayUtusan Malaysia

Pengerusi persatuan mengaku tidak bersalah guna gelaran Datuk Seri

IPOH: Pengerusi Persatuan Pasukan Keselamatan Rakyat Setia Berjasa Sukarela Negeri Perak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menggunakan gelaran ‘Datuk Seri’ yang tidak diiktiraf, Oktober lalu.

Saiful Sharma Abdullah, 52, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret S. Punitha.

Mengikut pertuduhan, dia yang berstatus duda didakwa sebagai seorang yang tidak berhak untuk menggunakan dan menikmati gelaran dan panggilan ‘Datuk Seri’ telah dengan sengaja menggunakan dan menikmati gelaran tersebut pada surat memohon kelulusan untuk menganjurkan Majlis Ulang Tahun ke-9 Persatuan Pasukan Keselamatan Rakyat Setia Berjasa Sukarela Negeri Perak.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab di dalam daerah Ipoh pada 31 Oktober 2023.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 3(2) Akta Kesalahan Yang Berhubungan Dengan Anugerah 2017 (Akta 787) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Amirah Nabihan Shahrir menawarkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin namun Teeban Kummar yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan minimum atas alasan anak guamnya menghidap penyakit kronik dengan pendapatan bulanan sebanyak RM1,000.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan dua orang penjamin dan menetapkan 28 Februari depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Penipuan lelaki yang bekerja sendiri itu terbongkar selepas surat memohon kelulusan untuk menganjurkan majlis ulang tahun persatuannya pada 31 Oktober 2023 didapati meragukan.

Setelah penelitian dibuat, lelaki itu disyaki telah menyalahgunakan Jata Persekutuan di dalam surat permohonan berkenaan dan menggunakan gelaran ‘Dato Seri’ yang diragui.  – UTUSAN

 

The post Pengerusi persatuan mengaku tidak bersalah guna gelaran Datuk Seri appeared first on Utusan Malaysia.

Pegawai kanan polis didakwa membunuh Muhammad Zaharif Affendi

IPOH: Pegawai kanan polis yang ditahan kerana disyaki melanggar pelajar lelaki tingkatan lima hingga maut di Jalan Taman Jati dekat Meru Jumaat lalu, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh hari ini.

Tertuduh, Mohd. Nazri Abdul Razak, 44, didakwa telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian Muhammad Zaharif Affendi Muhd. Zamrie, 17, di Jalan Taman Jati 1, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati di dalam daerah Kinta antara pukul 12.05 hingga 12.40 tengah hari, 15 Disember 2024.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati jika sabit kesalahan atau penjara sehingga 40 tahun dan jika tidak dihukum mati hendaklah dihukum sebat tidak kurang 12 sebatan.

Lelaki berpangkat Deputi Superintenden dan bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah itu mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret S. Punitha.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Azlina Rasdi bersama Khairul Azreem Mamat, Wan Azimah Yaacob, Afzainizam Abdul Aziz, Saiful Akmal Mod Said, Nasrul Hadi Abdul Ghani, Geetha Jora Singh dan Low Qin Hui manakala tertuduh diwakili peguam, Jacky Loi Yap Loong.

Terdahulu, Azlina memohon tarikh sebutan sementara menunggu laporan-laporan lain termasuk laporan kimia dan mahkamah kemudian menetapkan 7 Februari 2024 bagi sebutan semula kes.

Dalam kejadian Jumaat lalu sekitar pukul 12.30 tengah hari, seorang calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) maut selepas dilanggar dan diseret sejauh lebih lima meter oleh kereta jenis Perodua Ativa dipandu seorang pegawai kanan polis.

Difahamkan, sebelum kejadian, berlaku insiden tidak puas hati melibatkan pemandu kereta berkenaan dengan mangsa kerana dikatakan membuat bunyi bising ekzos motosikal.

Suspek dikatakan telah mengejar motosikal jenis Yamaha 135 LC ditunggang mangsa sejauh lebih kurang satu kilometer dan melanggarnya dari belakang.

Akibat pelanggaran itu, mangsa terjatuh dari motosikal dan diseret kenderaan berkenaan. – UTUSAN

The post Pegawai kanan polis didakwa membunuh Muhammad Zaharif Affendi appeared first on Utusan Malaysia.

Azeem, Shereen terima Pingat Jasa Kebaktian

IPOH: Jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi merupakan antara senarai 238 penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat-pingat Negeri Perak sempena Hari Keputeraan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Pada istiadat itu, Muhammad Azeem, 19, yang merupakan anak kelahiran Teluk Intan itu akan menerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK) atas kecemerlangannya memenangi pingat gangsa bagi acara 100 meter lelaki di Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China bulan lalu.

Turut tersenarai menerima PJK ialah dua anak Perak yang meraih pingat gangsa pada kejohanan sama iaitu Shereen Samson Vallabouy, 25, yang memenangi acara 400 meter dan 4×100 meter perempuan selain Muhd. Shafiq Puteh, 28, yang menang acara terjun tiga meter papan anjal seirama.

Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Tan Sri Dr. Mohd. Zahidi Zainuddin berkata, pada istiadat kali ini, Mufti Perak, Datuk Wan Zahidi Wan Teh dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Dr. Zulkapli Mohamed mengetuai senarai 238 penerima darjah kebesaran negeri.

Menurut beliau, Wan Zahidi dan Zulkapli dikurniakan Darjah Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) dengan membawa gelaran Datuk Seri.

“Bagi Darjah Dato’ Seri Panglima Taming Sari (SPTS) yang membawa gelaran Datuk Seri Panglima, ia dikurniakan kepada Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Mohammad Ab. Rahman dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

“Pada istiadat penganugerah itu juga, Pegawai Kewangan Negeri Perak, Mohd. Zaki Mahyudin menerima Darjah Dato’ Paduka Cura Si Manja Kini (DPCM) yang membawa gelaran Datuk,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Mohd. Zahidi, istiadat itu juga akan menyaksikan seramai 13 orang menerima Darjah Dato’ Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang membawa gelaran Datuk.

Katanya, antara penerima ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan dan operasi negeri, Salbiah Mohamed; Pengarah Jabatan Kerja Raya Perak, Ir Hamdan Ali; Pengarah Pendidikan negeri, Mohamad Fauzi Mahson; Pengarah Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Dr Megat Iskandar Megat Abdul Hamid dan Setiausaha Bahagian Kementerian Kewangan, Nor Eni Ismail.

“Turut menerima DPMP, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC), Yahanis Yahya; Naib Canselor Universiti Teknologi Petronas (UTP), Profesor Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib dan Presiden Persatuan Hoki Perak, Mohd. Saiyuti Abd. Samat.

“Selain itu, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke India, Muzafar Shah Mustafa; Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP), Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman; Ketua Pegawai Eksekutif CST Auto Group of Companies, P. Chandrasekaran; bekas Pengarah Perbadanan Taman Negeri Perak, Mohamed Shah Redza Hussein dan Pakar Kardiologi dan Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Dr. Lee Boon Chye,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, lima pegawai tinggi pasukan keselamatan juga akan dianugerahkan Darjah Dato’ Pahlawan Taming Sari (DPTS) yang membawa gelaran Datuk Pahlawan iaitu Pengarah Bahagian Geospatial Pertahanan di Kementerian Pertahanan, Brigedier Jeneral Sr Dr Zambri Mohamad Rabab; Ketua Perhubungan Antarabangsa Polis Diraja Malaysia (PDRM), Senior Asisten Komisioner R. Suparamaniam dan bekas Ketua Pengarah Kesihatan ATM, Brigedier Jeneral Dr Leong Weng Foon.

“Dua penerima lain bagi DPTS ialah Inspektor Jeneral Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Muda Mohd. Fadzli Kamal Mohd. Mahaldin dan Panglima Dua Briged Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Asri Shukor,” katanya.

Tambah beliau, sempena sambutan hari keputeraan kali ini juga, baginda turut
mengurniakan 14 Darjah Paduka Cura Si Manja Kini (PCM), 29 Darjah Paduka Mahkota Perak (PMP), 21 Darjah Ahli Cura Si Manja Kini (ACM), 43 Darjah Ahli Mahkota Perak (AMP), 60 Pingat Pekerti Terpilih (PPT), 33 Pingat Jasa Kebaktian dan 15 Pingat Lama Perkhidmatan
(PLP).

“Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Perak akan diadakan dua sesi di mana sesi pertama melibatkan penganugerahan Darjah Kebesaran yang membawa gelaran akan diadakan pada Ahad ini.

“Bagi Istiadat sesi kedua pula, ia akan dilangsungkan pada 18 November depan. Kedua-dua sesi istiadat akan diadakan di Balairong Seri, Istana Iskandariah, Kuala Kangsar,” katanya.-UTUSAN

 

The post Azeem, Shereen terima Pingat Jasa Kebaktian appeared first on Utusan Malaysia.

PDRM cadang gaji Konstabel selaras gaji minimum RM1,500

IPOH: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencadangkan supaya skim gaji permulaan bagi Konstabel (YA1) sebanyak RM1,441 diselaraskan dengan kadar gaji minimum RM1,500 sebulan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, cadangan berkenaan mengambil kira peningkatan kos sara hidup khususnya bagi anggota pangkat rendah.

“Buat masa ini, bagi anggota berpangkat Konstabel (yang baharu menamatkan latihan), apabila mereka keluar gajinya hanya RM1,441.

“Jadi, dengan pelaksanaan gaji minimum RM1,500 sebulan oleh kerajaan, kita mohon supaya penyelarasan turut dilakukan melibatkan gaji anggota yang baharu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Wildlife Crime Bureu/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman di Pusat Latihan Pasukan Gerakan Am (PLPGA) Ulu Kinta di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah KDNKA Bukit Aman, Datuk Hazani Ghazali; Timbalan Pengarah (KDNKA) WCB/PSK Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Azlin Sadari dan Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim.

Mengulas lanjut Razarudin berkata, bagi meningkatkan tahap integriti pasukan, pihaknya turut mencadangkan kenaikan 30 peratus daripada kadar Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) atau pemberian satu KGT secara ‘one off’.

Katanya, cadangan itu membabitkan semua peringkat skim di PDRM iaitu Skim perkhidmatan Pegawai Kanan Polis, Skim perkhidmatan Pegawai Rendah Polis dan Konstabel, Skim perkhidmatan Pegawai Rendah Polis dan Konstabel Orang Asli serta Skim perkhidmatan Pegawai Rendah Polis dan Konstabel Sokongan.

“Ini antara perkara yang kita cadangkan selain kadar Bantuan Sara Hidup (COLA) yang diterima pegawai dan anggota berbeza mengikut kategori bandar, pinggir bandar dan luar bandar,” katanya.

Razarudin pada Julai lalu dilaporkan berkata, gaji dan keperluan anggota polis akan diberi keutamaan dalam usaha meningkatkan integriti pasukan itu.

Beliau berkata, gaji yang diperoleh anggota berpangkat rendah adalah kecil dan tidak mampu menampung kos sara hidup terutama bagi mereka yang bertugas di bandar besar. – UTUSAN

 

The post PDRM cadang gaji Konstabel selaras gaji minimum RM1,500 appeared first on Utusan Malaysia.

❌
❌